Alvin Lie berkata, suatu yang mustahil untuk seseorang juruterbang nekad meneruskan perjalanan tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkaitan seperti Kementerian Perhubungan Indonesia (KEMENHUB). |
JAKARTA: Nahas yang menimpa pesawat malang AirAsia QZ8501 terus menjadi topik hangat selepas pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal didakwa terbang tanpa kebenaran.
Namun, sesetengah pihak berpandangan pesawat berkenaan tidak mungkin meneruskan penerbangan tanpa keizinan seseorang dan jelas ianya mungkin telah mendapat izin ‘hantu’.
Menurut pemerhati penerbangan Alvin Lie, suatu yang mustahil untuk seseorang juruterbang nekad meneruskan perjalanan tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkaitan seperti Kementerian Perhubungan Indonesia (KEMENHUB).
“Saya benar-benar yakin bahawa di pihak penerbangan mereka tidak mungkin terbang tanpa kebenaran.
“Mungkin sudah ada kelulusan tetapi komunikasi di antara pihak pemerintah tidak tepat,” kata Alvin yang dipetik Detik.com, hari ini.
Terdahulu, portal berita Indonesia melaporkan, Kementerian Pengangkutan Indonesia membekukan semua penerbangan AirAsia untuk laluan Surabaya ke Singapura selepas mendapati nahas pesawat terbabit ada kaitan dengan pelanggaran jadual operasi AirAsia Indonesia.
Merujuk surat Direktorat Jeneral Pengangkutan Udara Indonesia bertarikh 24 Oktober lalu, pesawat dari syarikat itu hanya dibenarkan menggunakan laluan penerbangan pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.
Bagaimanapun, ia nyata berbeza pada hari berlakunya insiden nahas yang menimpa QZ8501 iaitu Ahad yang disifatkan sebagai melanggar jadual dan permit laluan penerbangan yang diluluskan, sekali gus dipercayai menjadi punca nahas.
Alvin menambah, jika betul dakwaan mengatakan pesawat itu terbang tanpa kebenaran dan arahan daripada KEMENHUB, maka fungsi pengawasan di kementerian itu tidak jelas iaitu gagal mengesan penerbangan yang tidak mengikut prosedur.
“Kalau ada pintasan (perjalanan) dan pengawasan, ia pasti dikesan tetapi kalau pengawasan tidak dilakukan, maka tidak ada yang tahu.
“Andai saja pesawat itu tidak jatuh, kita mungkin tidak akan tahu hal ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment